Gagap, Bolehkah Dirawat? (Bahagian 2)

Gagap Penyakit

Yang menjadi masalah ialah gagap sebagai penyakit atau gagap yang bersifat patologi. Gagap yang merujuk kepada penyakit bersifat kekal dan pemulihannya memerlukan rawatan pakar. Pertuturan seseorang yang gagap mempunyai ciri-ciri sekatan. Antara ciri penyakit gagap termasuklah:
  • Pengulangan
  • Pemanjangan
  • Selaan
  • Jeda
Pengulangan
Pengulangan ialah pengucapan patah perkataan yang diulang secara tidak sengaja dan tidak ada kena-mengena dengan sistem sesuatu bahasa. Pengulangan dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu pengulangan sebahagian kata, dua suku kata dan seluruh kata. Misalnya:
     1. Sebahagian kata
Contoh ; pa pan
2.    Dua suku kata
Contoh ; me ma memasukkan
3.    Seluruh kata
Contoh ; tak tak tak

Pemanjangan
Ciri yang kedua ialah pemanjangan, iaitu pemanjangan bunyi yang dianggap berlebihan daripada kebiasaan apabila sesuatu perkataan diujarkan. Pemanjangan dibahagikan kepada dua, iaitu pemanjangan vokal. Misalnya:
1.      pemanjangan konsonan
          Contoh
          dddddia
          ssssemua
          mmmmkan      
2.       pemanjangan vokal ;
          Contoh
          aaaadik
          oooorang
          uuuubi
         
Selaan
Ciri yang ketiga ialah selaan. Selaan ialah gangguan semasa bertutur. Hal ini kerap terjadi apabila individu yang gagap berusaha untuk mengungkap sesuatu perkataan yang sesuai dalam sesuatu peristiwa bahasa, tetapi perkataan yang dicarinya itu tidak muncul. Oleh hal demikian, selitan yang berbentuk selaan dihadirkan supaya pendengar dapat membantunya. Misalnya:
Apa apa mmm ### mmm apa mmm di Kedah

Dalam hal ini, dengan menggunakan kata ”apa”, dia mengharapkan pendengar (orang yang berkomunikasi dengannya) akan membantu, misalnya untuk menyebut ’Kedah’.

Jeda
Ciri yang keempat ialah adanya jeda, iaitu kesenyapan dalam satu urutan pertuturan yang melampaui batas kesenyapan biasa yang sepatutnya berlaku dalam satu pertuturan yang normal.
Anak##beranak saya##yang lain ber##setuju

Cara Mengatasi Gagap

Gangguan bertutur atau gagap boleh diatasi, iaitu dengan berjumpa  doktor atau pakar gangguan bahasa pada peringkat awal. Sebahagian besar individu yang gagap sembuh melalui terapi. Melalui terapi, individu yang gagap dilatih tentang cara pernafasan, iatu menarikdan menghembuskan nafas dengan tenang dan teratur. Latihan mengendur juga dapat membantu melatih otot agar lebih santai ketika bercakap, selain membantu mengawal posisi badan.

Selain hal itu, merakamkan suara atau ucapan sendiri dan mendengarnya kembali juga dapat menolong individu yang gagap mengatasi masalah kegagapan. Motivasi yang kuat, kesabaran yang tinggi serta sokongan keluarga, teman dan  juga rakan boleh  menyembuhkan masalah gagap..  Hal ini demikian kerana hanya pendengar yang sabar akan memberikan perhatian yang penuh kepada apa-apa yang diungkapkan oleh individu yang gagap. Hal ini secara tidak langsung akan memberikan kesempatan dan dorongan (secara halus) kepada mereka. 
 
Masalah gagap sebenarnya memberikan kesan yang serius, khususnya dari aspek psikologi kepada seseorang yang gagap. Hal ini demikian kerana ada individu di barat yang berkelulusan ijazah kejuruteraan yang tidak memilih bidang kejuruteraan sebagai kerjayanya, sebaliknya memilih untuk menjadi kakitangan biasa di sebuah perpustakaan disebabkan oleh masalah gagap yang dialaminya. Dia bertindak demikian kerana tidak mahu berdepan atau bercakap dengan orang ramai. 

Walaupun gagap dikaitkan dengan penyakit seperti masalah patologi, banyak juga tokoh terkenal dunia yang berjaya dalam bidang masing-masing terdiri daripada individu yang pernah mengalami masalah gagap. Antaranya termasuklah Aristotle, George Washington, Winston Churchill, Nicolae Ceausecsu, Thomas Jefferson, Isaac Newton,, Marilyn Monroe, Tom Cruise dan Alan Turing.
  
Izani Daud ( Pelita Bahasa, September 2009 )

CONVERSATION

0 comments: